Kenapa Umno Kalah
Keputusan pilihanraya Kecil Parlimen Kuala Terengganu sudah dua hari berlalu di mana keputusan memihak kepada parti PAS dengan majority 2631 undi.
Kejayaan PAS merampas kerusi daripada UMNO yang dimenangi dengan majority 651 undi pada PRU12, mengundang pelbagai ulasan dan reaksi.
Media arus perdana nampaknya kurang mengulas kecuali beberapa berita terkini semasa, namun media IT, terdapat beratus analisa dan komen yang boleh dibaca secara online.
Jika dilihat dalam konteks pilihanraya kecil, UMNO(BN) kalah adalah berdasarkan beberapa faktor kecil seperti faktor strategi dan faktor calon. Di dalam pilihanraya ini tiada isu nasional yang timbul kecuali isu yang telah pun dimainkan di dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh tahun lepas.
Faktor calon paling mempengaruhi pengundi di mana calon BN Wan Farid dikata tidak mesra rakyat. Salah percaturan strategi memilih calon ini mungkin boleh diulas oleh Pengarah pilihanraya Kecil Kuala Terengganu (BN) apabila post mortem nanti.
Kekalahan ini adalah kekalahan kedua UMNO(BN) berturut-turut dalam pilihanraya kecil Parlimen. Di Permatang Pauh, faktor strategi juga dikatakan punca utama kekalahan selain faktor calon kerana kredibilitinya tidak mampu menyaingi kredibiliti calon pembangkang.
Jadi dalam PRK Kuala Terengganu, kelemahan itu telah diserap, namun UMNO(BN) tetap juga kalah.
Justeru, kekalahan UMNO(BN) di Kuala Terengganu ini perlu dilihat secara global lingkup Malaysia. UMNO(BN) meneraju kerajaan Malaysia selama 50 tahun. Namun hanya 46 tahun UMNO(BN) berbakti kepada rakyat dengan cemerlangnya.
Sepanjang 46 tahun itu UMNO(BN) memainkan peranan membangunkan Negara dan membantu rakyat tidak mengira kaum. Banyak dasar-dasar yang digubah menampakkan usaha bersungguh-sungguh dan keikhlasan kerajaan dalam menjalankan tanggungjawab mereka.
Sepanjang 46 tahun itu, tiada parti pembangkang yang boleh menggugat UMNO(BN) daripada memenangi pilihanraya. Jika ada pun hanyalah beberapa kerusi, ini pun berasaskan etnik seperti di Sabah dan Sarawak .
UMNO(BN) sentiasa mendapat 2/3 majoriti kerusi parlimen setiap kali pilihanraya umum di adakan.Selama 46 tahun ini, sebarang isu yang ditimbulkan oleh pembangkang hanya seperti angin lalu, tidak memberi kesan langsung kepada UMNO(BN).
Segalanya berubah apabila UMNO(BN) memenangi pilihanraya umum 2004 dengan rekod paling cemerlang. UMNO(BN) yang diterajui oleh Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi, cucu kepada seorang ulama terkenal suatu masa dulu, menampakkan kelainan yang paling ketara.
Kejayaan paling cemerlang ini telah melalaikan para pemimpin UMNO(BN) daripada tanggungjawab sebenar mereka untuk membangun Negara dan membantu rakyat. Bermula tahun 2004, semua masalah mula timbul dan tanggungjawab membangun Negara serta membantu rakyat telah bertukar kepada tanggungjawab membantu diri sendiri dan kaum kerabat (kroni).
Maka wujudlah gejala berebut hasil mahsul Negara oleh para pemimpin mereka dan sekali gus mengabaikan tanggungjawab kepada Negara dan rakyat.
Isu harga minyak sebagai contoh. Kerajaan melalui Petronas yang mendapat keuntungan beratus billion ringgit apabila harga petroleum meningkat sepatutnya dapat menyalurkan keuntungan itu untuk membangun Negara dan membantu rakyat. Namun apa yang berlaku, semakin untung petronas, subsidi yang diberikan kepada rakyat semakin ditarik balik. Kemudian apabila harga petroleum menjadi murah, petronas kurang mendapat keuntungan, rakyat pula dipaksa membayar cukai bahanapi.
Para pemimpin dilihat menggubal dasar dengan alasan membantu rakyat, namun diakhirnya keuntungan mutlak masuk poket pemimpin yang mempunyai share dalam syarikat. Pembentukkan consortium IPP sebagai contoh di mana kerajaan terpaksa membayar tenaga yang tidak digunakan berbillion ringgit kepada syarikat tersebut. Pembaziran ini menyusahkan rakyat kerana kos itu ditanggung oleh rakyat dalam bentuk percukaian.
Lihat saja scomi. Siapa pemilik dibelakangnya dan kaitan dengan kerajaan Malaysia. Dan cuba siasat berapa tender kerajaan serta nialinya yang diuruskan oleh syarikat ini.
Sampai satu peringkat, pemimpin-pemimpin peringkat pertengahan dan bawahan sukar mendapat habuan mereka. Maka kudis rasuah membiak dan semakin bernanah serta membusuk sehingga ia terang-terangan dilakukan tanpa selindung.
Perdana Menteri sendiri paling hebat. Kewujudan ‘empat budak cerdik di tingkat empat ‘ Putra Jaya sebagai perancang semua hal ehwal Negara mencerminkan kelemahan kerajaan kini. Atau rakyat sebenarnya melihat ia bukan kelemahan tetapi kekuasaan PM sendiri di dalam hal-hal kebajikan keluarga dan kroni.
Disiplin pemimpin atasan juga semakin teruk dan membimbangkan. Jika pada tahun 1998 DS Anwar Ibarahim ditendang daripada kerajaan kerana masalah disiplin – tuduhan meliwat, kini tahun 2008 Datuk Seri Najib yang menghadapi tuduhan terlibat kes bunuh tidak diambil tindakkan malah dijanjikan jawatan Perdana Menteri mac ini. Gaya Imelda Marcos isterinya juga mencerminkan masalah disiplin para pemimpin tertinggi di peringkat amat serius.
Jesteru kekalahan UMNO(BN) adalah disebabkan oleh para pemimpin mereka telah mengabaikan tanggungjawab kepada rakyat. Para pemimpin yang sibuk menjaga ‘buku bank’ mereka telah melupakan kesengsaraan rakyat. Terkini dengan masalah ekonomi global yang teruk, kenaikan harga barangan yang tidak dihiraukan oleh kerajaan, bebanan infalasi dan pengangguran oleh rakyat menyebabkan rakyat bangkit mengamuk. Kuasa rakyat adalah ketika pilihanraya berlangsung. Oleh itu rakyat telah tunjukkan kuasa mereka ketika pilihanraya 2008 dengan menafikan majority 2/3 yang diperolehi UMNO(BN) sejak pilihanraya pertama lagi. Dan kuasa ini ditunjukkan lagi pada pilihanraya kecil Permatang Pauh dan Kuala Terengganu. Rakyat akan mengamuk lagi dengan kuasa mereka pada pilihanraya umum 2013 nanti dan kali ini mungkin UMNO(BN) akan menjadi sejarah.
"BN menerima keputusan yang dibuat oleh pengundi. Dalam sistem demokrasi, suara rakyat adalah suara keramat,"-Datuk Seri Najib Razak
Kenyataan pemimpin :-Malaysiakini.com
Mantan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad berkata ,Barisan Nasional (BN) yang telah memerintah Malaysia selama 50 tahun, akan kehilangan kuasa dalam pilihanraya umum akan datang jika ia terus memberi tempat kepada pemimpin yang korup.
"Saya fikir Najib tidak harus dipersalahkan terhadap (kekalahan BN di Kuala Terengganu) tetapi jika beliau terus memilih atau menyokong pemimpin yang korup, maka saya fikir beliau akan kalah dalam pilihanraya umum akan datang," –Dr. Mahathir Mohamad.
"Ia mengesahkan bahawa peralihan pradigma dalam politik Malaysia kira-kira 10 bulan yang lalu bukan secara kebetulan, tetapi mencerminkan inspirasi politik sebenar rakyat Malaysia,"-Lim Kit Siang
"Kemenangan ini juga seharusnya menjadi pemangkin serta pencetus keazaman di kalangan pendokong Pakatan Rakyat untuk terus bekerja dengan lebih kuat, bukan untuk kita, akan tetapi untuk seluruh rakyat Malaysia. Moga Ketuanan Rakyat akhirnya menjadi kenyataan," – Anwar Ibrahim.
Original article on ataspagar.com

0 Comments:
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home